Kekuatan dan Kesempurnaan Al-Fatihah
“Demikianlah (kisah Isa), Kami membacakannya kepada kamu sebahagian daripada bukti-bukti (kerasulannya) dan (membacakan) Al-Quran dengan penuh hikmah.”
- Surah Ali ‘Imran (Keluarga Imran) 3:58
Kali ini saya akan cuba membincangkan tentang surah Al-Fatihah; “Ibu kepada al-Quran” yang merupakan intisari al-Quran Al-Karim. Al-Fatihah bererti pembuka yang sempurna bagi segala kejayaan dan kebaikan. Al-Fatihah juga merupakan penyembuh kepada hati dan fikiran yang tidak sihat, pedoman asas bagi segala kecerdasan hati atau akhlak manusia, pemelihara bagi hati dan fikiran manusia, bekalan yang maha penting untuk mencapai cita-cita dan harapan dan ungkapan rasa syukur atas segala nikmat dan kejayaan. Pujian kepada Allah yang disemat di dalamnya, membangunkan sumber-sumber suara hati; pemberi maklumat yang maha penting dan juga pembisik kebenaran yang abadi. Inilah pegangan asas ESQ untuk mencerdaskan akhlak manusia. Akhir sekali, al-Fatihah merupakan harapan atau permohonan yang dapat membantu anda untuk sentiasa diingatkan dan dimotivasikan oleh visi (harapan) yang perlu dicapai. Inilah auto-pilot atau “Bushido” dalam diri kita.
Di bawah ini saya akan cuba menggunakan istilah-istilah yang ringkas supaya lebih mudah bagi anda untuk merasakan kesempurnaan dan kekuatannya:
1. Bismillahirrahmanirrahiim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pembuka: Mulakanlah Dengan Nama Allah.
Prinsip ini akan menyedarkan diri untuk sentiasa bersikap penyayang dan pengasih kepada setiap orang supaya kita sentiasa memiliki prinsip memberi dan memulakan. Atas Nama Allah ertinya adalah berusaha meneladani sifat-sifat Allah sebagai tanda pengabdian kepadaNya. Inilah dasar kepada pembuka suara-suara hati yang akan berbisik kepada anda serta akan mengarahkan anda kepada kebaikan dan kejayaan. Anda akan memiliki kepercayaan diri yang sangat kuat kerana anda akan bertindak atas nama Allah Yang Maha Mulia; bertindak sebagai wakil Allah yang tunduk patuh kepadaNya.
2. Alhamdulillahirabbil 'Alamiin.
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.
Memuji Allah: Berfikir dan berjiwa besar (Thinking Big)
Anda akan selalu merasakan bahawa anda berada dalam curahan rahmat Allah: pemilik alam semesta. Anda akan berasa tenteram dan merasa dilindungi kerana didasari oleh kepercayaan bahawa anda bekerja demi kesejahteraan bumi milik Allah. Bersedia untuk menggunakan seluruh potensi diri anda secara maksimum dalam usaha menjalankan tugas sebagai rahmatan lil 'alamin. Selalu mengingati sifat-sifat Allah yang menjadi pendorong untuk anda melakukan kebaikan dan ia menjadi landasan kepada kecerdasan emosi dan spiritual (ESQ).
3. Arrahmaanirrahiim.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Bekalan: Sikap mengasihi (Thinking Deep)
Dengan keyakinan anda terhadap sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang ini, akan memberikan inspirasi kepada anda untuk bersikap pengasih dan penyayang kepada orang lain. Tidak mahu merugikan orang lain dan selalu berusaha membantu dan menolong orang lain. Inilah teras kejayaan hubungan sesama manusia yang akan membawa diri anda kepada "kekuatan sosial".
4. Maaliki Yaumiddiin.
Pemilik/Raja Hari Pembalasan.
Wawasan (Visioner)
Selalu berorientasikan kepada masa depan, memiliki matlamat yang jelas serta memiliki rancangan untuk setiap langkah yang akan dibuat sehingga anda akan memiliki kesedaran penuh bahawa kejayaan tidak akan dicapai melalui cara-cara yang tidak baik. Anda perlu bertindak atas nama Allah, selalu memuji dan mengingat sifat-sifat Allah di samping menjadikan sikap penyayang dan pengasih sebagai bekal dalam mencapai sesuatu tujuan. Inilah jaminan masa depan dari Allah bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa.
5. Iyyakan Na'budu Wa Iyyaka Nasta'iin.Hanya kepada-Mu kami mengabdikan diri dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.
Memelihara prinsip (Intergrity)
Berprinsip tunggal hanya kepada Allah Yang Esa. Bekerja dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa bersikap jujur. Memiliki komitmen dan sentiasa konsisten dalam mencapai matlamat. Selalu merasakan bahawa diri anda dilihat oleh Tuhan. Anda akan memiliki prestasi kerja yang sangat tinggi kerana Tuhan yang Maha Tinggi adalah teladan dan prinsip yang anda pegang. Bersedia menghadapi segala cabaran, kegagalan atau kejayaan. Mental anda akan hebat kerana anda telah memiliki "kemenangan peribadi" yang kuat dan kukuh.
6. Ihdinash Shiraathal Mustaqiim.
Tunjukkanlah kepada kami jalan yang luas dan lurus.
Tindakan (Action)
Inilah tindakan yang berlandaskan kepada hati dan fikiran yang terbentuk melalui ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, iaitu bertindak atas nama Allah, selalu bersikap pengasih dan penyayang, memiliki visi, memiliki integriti yang tinggi dan hanya berpegang teguh kepada Allah Yang Esa. Maka, tibalah pula langkah pelaksanaan secara menyeluruh berdasarkan visi yang telah dilandasi oleh keperibadian yang mantap dan prinsip yang teguh. Sesungguhnya di sinilah terletaknya perjuangan yang sebenar. Itulah langkah Islam yang diaplikasikan secara total.
7. Shiraathal Ladziina An'amta 'Alaihim, Ghairil Maghdhuubi 'Alaihim Waladh Dhaalliin.
Jalan orang-orang yang Engkau berikan nikmat, bukan jalan orang-orang yang dimurkai, bukan pula jalan-jalan yang sesat.
Penyempurnaan (Evaluation and Continuous Improvement)
Di dalam perjalanan itu, asahlah hati, fikiran, pelaksanaan tugas dan cita-cita anda secara berterusan (kaizen) sehingga anda dapat melakukan dan mencapai sesuatu yang lebih baik dan sempurna. Anda diminta untuk menilai fikiran, hati dan pelaksanaan kerja anda agar anda sentiasa berada di jalan yang benar dan lurus. Tanpa mengenal erti putus asa terhadap jalan Allah yang sangat luas. Anda mencari redha Allah.
8. Amiin.
Kabulkanlah.
Ikhlas (Sincereity)
Anda perlu sentiasa ikhlas untuk menerima segala hasil yang telah dicapai. Apa pun hasilnya, terimalah dengan baik kerana semuanya datang daripada Allah. Jika anda belum merasa puas, jangan pula menyalahkan nasib. Baca dan pelajari (iqra') kerana pasti ada sesuatu yang masih belum mencukupi dan belum dilakukan. Ulangi usaha itu seperti anda membaca al-Fatihah berulang kali setiap hari. Semua ayat-ayat di atas perlu dilihat dan dibaca kembali satu persatu. Lakukannya setelah semua langkah telah dilaksanakan. Ketika membaca al-Fatihah ini, jadikanlah setiap ayatnya sebagai alat untuk memuhasabah diri anda. Di samping itu, sikap ikhlas ini akan menyembuhkan anda daripada penyakit psikologi yang dipanggil 'perfectionist' iaitu keresahan dan kegusaran akibat daripada masih belum mencapai target yang telah ditetapkan. Sesungguhnya, inilah prinsip yang jauh lebih hebat dari kaizen.
—————